Pilihan bahasa

Warna teks  default green blue contrast
A- A A+

Peralatan Web

Sejarah

 
SEJARAH PENUBUHAN

PERKHIDMATAN KESIHATAN ORANG ASLI

Sejarah01

Pada bulan April 1957, Dr. Bolton telah diarahkan oleh Richard Noone yang merupakan Pesuruhjaya Orang Asli di Jabatan Orang Asli pada waktu itu untuk berpindah ke Kuala Lipis, Pahang bagi tujuan menubuhkan Bahagian Perubatan, Jabatan Orang Asli. Di Kuala Lipis inilah, Dr. Bolton telah menubuhkan “Aborigine Medicol Centre". Di pusat perubatan ini jugalah, Dr. Bolton telah melatih anggota polis hutan yang akan berkhidmat di pos-pos pedalaman dengan kursus perubatan. Kursus perubatan yang pertama kalinya telah dijalankan pada bulan Ogos 1957 di mana tujuh (7) orang anggota polis hutan, lima (5) orang daripadanya berketurunan Orang Asli yang terdiri dua orang Semai, seorang Semelai dan dua orang Temiar menjadi perintis menjalani kursus perubatan di pusat perubatan ini. Dalam tahun itu juga, Dr. Bolton telah mendapat kebenaran dari Richard Noone untuk melatih belia-belia Orang Asli yang berkebolehan menjadi kakitangan perubatan dengan pangkat "Field Staff Medical". Kumpulan kedua kakitangan perubatan Orang Asli telah dilatih pada bulan Ogos 1959. Kursus perubatan tersebut adalah selama 6 bulan di mana bagi tempoh 3 bulan yang pertama, para pelatih akan dilatih mengenai penyakit berjangkit di kalangan Orang Asli, infestasi parasit dan promosi kesihatan.  Bagi tempoh 3 bulan yang terakhir, para pelatih akan menjalani latihan amali di Hospital Kuala Lipis. Para pelatih perubatan Orang Asli yang telah menamatkan latihan di Aborigine Medical Centre ini akan diserapkan ke tugas masing-masing samada ke Pasukan Senoi Pra'aq di Batu 12, Gombak ataupun ke Bahagian Perubatan, Jabatan Orang Asli.                               

Pada tahun 1960, Pasukan Senoi Pra'aq telah berpindah ke Jalan Maxwell Kuala Lumpur. Oleh kerana keperluan logistik dan untuk memudahkan urusan rujukan pesakit Orang Asli ke Hospital Kuala Lumpur, Bahagian Perubatan, Jabatan Orang Asli telah berpindah ke Batu 12, Gombak pada bulan September 1960. Pusat pentadbiran baru Bahagian Perubatan, Jabatan Orang di Batu 12, Gombak ini telah ditukar nama kepada  Rumah Sakit Orang Asli dan Dr. Bolton   telah menjadi Pengarahnya yang pertama.  Pada waktu tersebut, perkhidmatan kesihatan di satu-satunya wad di Rumah Sakit Orang Asli telah diketuai oleh Dr. Bolton sendiri termasuk membuat lawatan ke pos-pos pedalaman dengan menggunakan perkhidmatan doktor udara yang lebih dikenali sebagai Flying Express oleh Dr. Bolton. ‘Aborigine Medical Centre’ di Kuala Lipis telah dijadikan sebagai pusat latihan kepada kakitangan Rumah Sakit Orang Asli sehingga tahun 1963. Bagi tujuan memperkembangkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Orang Asli, Jabatan Orang Asli telah mendapat peruntukan melalui  Pelan Lima Tahun Kedua Kerajaan (1961-1965) untuk membangunkan sebuah hospital baru dan khas untuk masyarakat Orang Asli di Batu 12, Gombak ini.               

Pada tahun 1972, Rumah Sakit Orang Asli telah ditukar nama kepada Hospital Orang Asli. Pada ketika itu, Hospital Orang Asli di Gombak ini mempunyai 13 buah wad dengan kapasiti sebanyak 400 buah katil. Bahagian Perubatan Jabatan Orang Asli pada ketika itu mempunyai kakitangan seramai 528 orang di mana 475 orang daripadanya adalah kakitangan berketurunan Orang Asli. Pada masa itu juga, terdapat seramai 139 orang kakitangan Bahagian Perubatan Jabatan Orang Asli bertugas secara bergiliran di pos-pos pedalaman. Pada tahun 1972, Dr. Bolton telah menamatkan tugasnya sebagai Pengarah di Hospital Orang Asli dan bertukar sebagai Pakar Perunding di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Pada tahun 1987, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) telah membina sebuah bangunan hospital baru setinggi 4 tingkat bagi menggantikan bangunan wad lama yang telah usang dan bagi tujuan keselesaan pesakit Orang Asli. Selain itu juga JHEOA telah mendapat peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-8 untuk membina sebuah  Pusat Transit   di Hospital Orang  Asli  bagi  tujuan menempatkan pengiring dan ahli keluarga pesakit disamping meneruskan polisi family admission yang telah dirintis oleh Dr. Bolton sebelumnya. Pusat Transit ini telah memulakan operasinya pada tahun 2005. 

Pada 13 Julai 2011, Mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet telah meluluskan syor Kementerian Kesihatan (KKM) Malaysia untuk mengambilalih perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada masyarakat Orang Asli yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Seterusnya pada 3 Januari 2012, Nota Persefahaman Pengambilalihan telah ditandatangani di antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Kesihatan Malaysia.  

Pengambilalihan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini adalah sejajar dengan kesungguhan dan komitmen pihak kerajaan untuk sentiasa memberikan tumpuan khusus serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat Orang Asli. Sejajar dengan itu,  Hospital Orang Asli Gombak dikekalkan menjadi pusat rujukan bagi Orang Asli seluruh Malaysia dan bertaraf  nasional di mana hospital ini akan terus berperanan dalam memberi perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang bersifat komprehensif, holistik dan khusus kepada masyarakat Orang Asli.

            Sumber Rujukan:

            1.  En. Unyah ltam               

                    Kumpulan Kedua Pelatih "Field Staff Medical"

                    Aborigine Medical Centre 1959

                2. En. Atim Padod

                    Kumpulan Kedua Pelatih "Field Staff Medical"

                    Aborigine Medical Centre 1959 

                3. En. Mokhtar Padod

                    Kumpulan Kedua pelatih "Field Staff Medical" 

    Aborigine Medical Centre 1959

 
 
SEJARAH PENTADBIRAN
 
 

1954

JABATAN ORANG ASLI        

KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI

1959

JABATAN ORANG ASLI        

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

1963

JABATAN HAL EHWAL ORANG ASLI

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

1964

JABATAN HAL EHWAL ORANG ASLI

KEMENTERIAN TANAH DAN GALIAN

1970

JABATAN HAL EHWAL ORANG ASLI

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN TANAH

1971

JABATAN HAL EHWAL ORANG ASLI

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN NEGARA DAN LUAR BANDAR

1974

JABATAN HAL EHWAL ORANG ASLI

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

1990

JABATAN HAL EHWAL ORANG ASLI

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

1994

JABATAN HAL EHWAL ORANG ASLI

KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA DAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT

2001

JABATAN HAL EHWAL ORANG ASLI

KEMENTERIAN  PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

2003

JABATAN HAL EHWAL ORANG ASLI

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH (KKLW)

2011

JABATAN KEMAJUAN ORANG ASLI

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH (KKLW)

2012

HOSPITAL ORANG ASLI GOMBAK

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

 

 

 
offcanvas